Dr Azmi Hassan

KUALA LUMPUR – Spekulasi penguguran beberapa nama ahli Parlimen veteran UMNO daripada menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15, jika benar bukanlah mengejutkan sebaliknya ia sudah dijangka.

Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan menyifatkan, tindakan itu sebenarnya selari dengan kehendak akar umbi selepas melihat pemimpin-pemimpin berkenaan tidak selari dengan parti.

Ia terutama melibatkan isu kerjasama mereka dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Selain faktor itu, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu mengemukakan nama-nama calon baharu dan muda demi memenuhi kehendak rakyat.

“Mengambil kira mereka tidak selari dengan parti dan kehendak akar umbi, justeru nama-nama ini wajar digugurkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau diminta mengulas mengenai rasa tidak puas hati penyokong-penyokong beberapa pemimpin UMNO susulan penyandang kerusi Parlimen tertentu dikatakan tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Antara nama yang disebut-sebut itu ialah Tan Sri Annuar Musa (Ketereh), Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri Zahidi Zainul dan Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi).

Mengulas lanjut, Azmi berkata, kalau dibandingkan dengan pengguguran nama-nama besar pemimpin Pakatan Harapan yang tidak dicalonkan seperti Wong Tack, Marina Chin, Charles Santiago dan Tian Chua, ia lebih memeranjatkan.

Ini kerana, sebab pengguguran mereka sukar dikaitkan berbanding Annuar dan Shahidan, umpamanya.

“Namun, kalau UMNO dan BN hendak mengemukakan 70 calon muda, memang ramai penyandang yang perlu digugurkan.

“Dan, pada saya lebih mudah menggugurkan nama-nama yang menentang kehendak akar umbi dan parti,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast