Calon Barisan Nasional (BN) P.071 Gopeng, Cally Ting Zhao Song pada Pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 Barisan Nasional Perak ketika di Hotel Casuarina, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 02 NOVEMBER 2022.

IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gopeng Cally Ting mula menjadi sasaran pihak lawan di media sosial sejak dua minggu lalu selepas nama beliau disebut-sebut akan bertanding di kawasan itu.

Calon muda berusia 32 tahun dan merupakan Naib Pengerusi MCA Gopeng menjadi sasaran kerana kelebihan yang dimiliki di media sosial TikTok.

Kandungan yang memberi penerangan pelbagai isu kepada masyarakat Cina terutama golongan muda antara faktor beliau diserang secara maya.

“Pembangkang hantar cybertroopers ke media sosial saya dan melakukan banyak serangan peribadi. Tapi kali ini serangan tersebut tidak akan membuahkan hasil. Kalau nak bertanding buatlah secara budiman.

“Serangan bermula sejak dua minggu lepas apabila ada khabar bahawa saya akan menjadi calon Parlimen Gopeng.

“Saya tidak akan tergugat dengan serangan itu sebab pengundi tidak akan terpengaruh kerana banyak perkataan kesat yang dilemparkan. Saya akan terus buat kerja dan biarlah warga Gopeng menilai,” kata Cally.

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman calon Pilihan Raya Umum ke-15 BN Perak hari ini.

Ketika nama beliau disebut oleh Pengerusi BN Perak Datuk Seri Saarani Mohamad kedengaran sorakan yang kuat daripada hadirin terhadap Penyelaras MCA Parlimen Gopeng itu.

“Mungkin kerana pengaruh akaun TikTok saya yang sangat aktif. Capaian kandungan saya kepada audien sangat besar.

“TikTok merupakan platform yang baharu yang mempunyai sambutan yang sangat tinggi. Saya akan beri fokus kempen dalam media sosial baharu ini,” katanya.

Menurut Cally dengan sokongan jentera BN Gopeng dia akan melakukan yang terbaik bagi menyumbang satu kerusi parlimen kepada parti.

Tambahan, pasukannya terdiri daripada orang muda jadi dirinya tidak asing kepada golongan belia.

Sementara itu menurut Cally, peluang untuk BN menang di Parlimen Gopeng terbuka luas kerana parti itu telah membuat kerja-kerja kemasyarakatan sejak PRU 2018.

“Warga Gopeng sudah nampak usaha dan kerja kita dalam tempoh tiga hingga empat tahun lepas.

“Rakyat memang sudah tahu siapa yang boleh buat kerja dan saya harap warga Gopeng akan membuat pilihan yang tepat untuk memajukan Parlimen Gopeng,” katanya.

Tambah Cally, warga Gopeng juga sudah serik dengan pembangkang kerana tidak banyak perubahan yang dilakukan dalam Parlimen itu.

Katanya, ada petunjuk positif bahawa penduduk Gopeng menantikan perubahan dan BN akan berikan peluang untuk melakukan usaha tersebut.

Parlimen Gopeng merupakan kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan pada PRU14.-MalaysiaGazatte