Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Rangkaian 5G kini meliputi hampir 11 juta penduduk di seluruh Malaysia, bersamaan dengan lebih daripada 33% liputan di kawasan berpenduduk.

Setakat akhir Ogos 2022, Digital Nasional Berhad (DNB) kekal berada di landasan untuk mencapai kira-kira 80% liputan di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2024.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, kos pembangunan rangkaian 5G adalah RM16.5 bilion dalam tempoh 10 tahun, tanpa sebarang pembiayaan atau jaminan kerajaan selain suntikan ekuiti bernilai RM500 juta untuk memulakan operasi syarikat DNB.

Menurutnya, dengan pelaksanaan rangkaian borong tunggal 5G yang pertama di dunia oleh DNB, penyertaan lima Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) di dalam industri telekomukasi Malaysia berpotensi menjimatkan kira-kira RM30 bilion dari segi kos pembinaan infrastruktur dalam tempoh 10 tahun akan datang.

”Ini akan membolehkan MNO untuk memfokus kepada penambahbaikan perkhidmatan 4G dan penyediaan perkhidmatan 5G yang inovatif dan bernilai tinggi bagi manfaat rakyat dan perniagaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Lima MNO itu ialah Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd (TM), U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd (YES).

Kelima-lima pengendali ini telah menandatangani Perjanjian Akses 5G masing-masing bersama DNB pada 31 Oktober lalu bagi penyediaan akses borong oleh DNB.

Dengan itu, para pelanggan akan dapat menerima manfaat kelajuan pantas dan ketersambungan 5G dengan lebih inklusif pada harga mampu milik.

DNB komited untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian dan infrastruktur 5G.

Tengku Zafrul menambah, pewujudan khidmat 5G juga akan meningkatkan produktiviti, kecekapan dan inovasi yang dijangka mewujudkan 750,000 pekerjaan berkemahiran tinggi dan menjana RM650 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar secara kumulatif sehingga 2030. – MalaysiaGazette