KUALA LUMPUR – Parti-parti politik dinasihat agar tidak memasang apa jua bentuk bahan kempen di mana-mana premis dan pepasangan elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bermula 5 November hingga 18 November 2022.

Larangan ini termasuklah menampal atau menggantung bahan-bahan kempen seperti poster, bendera dan sepanduk di menara perantaran, tiang elektrik, peti pembekal, pencawang, tiang elektrik konkrit dan talian atas.

”Perbuatan ini boleh mengundang bahaya kerana berisiko mengakibatkan renjatan elektrik.

”Ia juga mungkin menyebabkan gangguan bekalan elektrik jika percikan arka (flashover) berlaku sehingga merosakkan harta benda bahkan mengancam nyawa,” kata Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood.

Tambahnya, pemasangan bahan-bahan kempen tersebut juga boleh menghalang warga kerja TNB untuk mendapat akses untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pemulihan bekalan.

Wan Nazmy turut mengingatkan orang ramai agar tidak memegang, membawa atau memasang tiang bendera di bawah mana-mana talian penghantaran elektrik termasuk tiang bendera yang diperbuat daripada buluh yang boleh menyebabkan renjatan elektrik pada mereka yang berada berhampiran.

Menurutnya, aktiviti berbahaya ini juga menyalahi peruntukan Seksyen 37, Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), iaitu merosakkan pepasangan elektrik.

Sebagai langkah pencegahan, TNB, menerusi rondaan rutin, akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) dan pihak berkuasa untuk menurunkan bahan kempen pilihan raya yang berisiko menimbulkan bahaya dan masalah kepada pengguna.

Orang ramai yang ternampak situasi yang boleh mengancam keselamatan orang lain atau menjejaskan bekalan elektrik, boleh segera menghubungi Facebook TNB CareLine atau talian 15454 agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi mencegah perkara yang tidak diingini daripada berlaku. – MalaysiaGazette