Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Gerakan Tanah Air (GTA) sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Konvensyen Bangi, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2022.

BANGI – Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kecewa dengan pengguguran beberapa orang lama dalam UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa, ia menggambarkan bahawa mereka yang digugurkan itu bukan orang pilihan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya sedih melihat orang lama pemimpin UMNO yang sudah memimpin UMNO selama lapan kali tetapi digugur dan diganti orang tidak dikenali, saya sedih melihat mereka seperti (Datuk Seri) Shahidan, (Tan Sri) Annuar Musa dan beberapa lagi yang lain termasuk (Datuk Seri) Tajuddin.

“Mereka digugurkan kerana saya berpendapat mereka bukanlah orang Presiden UMNO.

“Presiden nak orang dia jadi calon tetapi bagi kita masalah ini tak timbul walaupun ada kecewa tak jadi calon tapi taklah tindakan dibuat gugur sesiapa,” katanya dalam ucapan pengumuman calon GTA pada PRU15 di Pusat Konvensyen Bangi, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Ahmad Zahid jelas mahu meletakkan calon beliau di kerusi-kerusi BN.

Jelasnya, GTA tidak mengamalkan budaya tersebut dan mementingkan calon boleh menang.

“Presiden (Ahmad Zahid) nak orang dia jadi calon tetapi bagi kita masalah ini tak timbul walaupun ada kecewa tak jadi calon tapi taklah tindkan dibuat gugur sesiapa.

“Kita pilih calon boleh menang. kalau ketepi perasaan kecewa dan sokong siapa sahaja jadi calon dalam pilihan raya,” katanya.

Semalam 10 Ahli Parlimen digugurkan daripada senarai calon Barisan Nasional (BN) yang dibuat pengerusinya, Ahmad Zahid.

Antara veteran yang digugurkan termasuk Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa (Ketereh) dan timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar) serta penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Enam lagi nama adalah Tan Sri Noh Omar (Tanjung Karang), Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi), Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara), Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib (Maran), Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), dan Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif (Jempol). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast