Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) ketika melancarkan gimik pelancaran buku Peluncuran Tawaran Harapan ‘Kita Boleh’ pada Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh di Hotel Wyndham Acmar Klang, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 02 NOVEMBER 2022.

KLANG – Pakatan Harapan (PH) memberi jaminan manifesto 10 Tawaran Harapan yang ditawarkan kepada lebih 21 juta pengundi pada dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah realistik dan mampu ditunaikan.

Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, manifesto PH kali ini mampu dilaksanakan sebaiknya tanpa memberi alasan ia bukan kitab suci seperti mana yang diungkap kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“(Boleh dilaksanakan) kerana pengerusinya (PH) Anwar Ibrahim,” katanya pada sidang media di Hotel Wyndham, di sini, tengah hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan 10 Tawaran Harapan yang menawarkan penyelesaian kepada tangani isu kos sara hidup, perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi, perkasa peluang ekonomi belia dengan terokai sektor manusiawi serta selamatkan generasi tercicir dalam pendidikan.

Turut ditawarkan penyelesaian kepada bina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan, tangani isu doktor kontak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan,hapuskan isu kesaksamaan gender dan memperkasa Sosio ekonomi wanita, perkasa Wilayah Sabah dan Sarawak, tingkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia serta pelihara khazanah alam demi anak cucu kita.

Hadir sama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Pada 16 Julai 2018, Dr Mahathir ketika mengetuai pentadbiran Kerajaan Persekutuan menegaskan manifesto pilihan raya PH semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu bukan kitab suci.

Malah perkara itu turut diakui Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Bersatu ketika itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang bersetuju manifesto PH bukan seperti kitab suci Bible, sebaliknya satu rujukan atau panduan semata-mata. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa kata Wan Azizah? Bukan geng2 ni kata manisfesto bukan kitab suci? skrg nak konar lain plak? haaaa

Comments are closed.