IPOH – Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi parlimen Kuala Kangsar, Datuk Maslin Sham Razman yakin BN mampu melakar kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, pemilihannya diterima dengan penuh tanggungjawab dan ia merupakan amanah yang besar untuk digalas.
“Kepada keseluruhan rakyat Kuala Kangsar juga, akan saya pikul amanah ini dan all out memastikan kemenangan untuk kita
“Saya mohon anda semua doakan yang terbaik buat BN, buat kerajaan negeri Perak supaya kita dapat menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil dan makmur demi rakyat, kepada pengundi buatlah keputusan bijak dengan memilih BN sebagai pilihan pertama anda,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas majlis Pengumuman Calon PRU15 BN Perak di Hotel Casuarina @Meru, di sini, hari ini.
Maslin Sham yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Kuala Kangsar adalah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan untuk dua penggal.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dimenangi Datuk Mastura Mohd Yazid atas tiket UMNO-BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016 susulan kematian suaminya, Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak, pada 5 Mei tahun sama.
Mastura yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan kemudian memenangi kerusi itu pada PRU14 atas tiket BN apabila meraih 12,102 undi iaitu majoriti 731 undi menewaskan calon PKR, Dr Ahmad Termizi Ramli (11,371) serta calon Pas, Drs Khalil Idham Lim (6,583).
Parlimen Kuala Kangsar mempunyai lebih 47,000 pengundi berdaftar dengan mempunyai dua DUN iaitu Bukit Chandan dan Manong. – MalaysiaGazette