KLANG – Pakatan Harapan (PH) tidak tergugat dengan pengumuman calon Parlimen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sama ada daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Perikatan Nasional (PN).
Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua blok politik itu berdepan dengan krisis dalaman sebelum memasuki medan perang dan ia tidak menjadi beban kepada mereka untuk memenangi PRU15.
“Tidak (tergugat), kita lihat keadaan agak kecamuk dalam BN, dalam PN, Pas boleh sokong Gerakan menentang hudud terang-terangan, apabila saya nak sama dia serang DAP.
“Tetapi saya lihat Gerakan mengeluarkan beberapa kenyataan yang jauh lebih keras, lebih menghina Islam, tetapi itu dikompromi.
“Jadi ini akan jadikan dalam ulasan kita menjawab, soal perjudian dan pelbagai hal. Saya tidak fikir ini satu masalah kita,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu Anwar bersama Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke Siew Fook dan Mohamad Sabu merasmikan manifesto 10 Tawaran Harapan yang ditawarkan pada PRU15.
Hadir sama Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sementara itu, Anwar tidak mahu meletakkan jumlah kerusi Parlimen yang bakal dimenangi PH dalam PRU15 secara rambang dan sasaran mereka perlu realistik, sekurang-kurangnya 112 kerusi majoriti mudah.
“Kita akan mula dengan 112 kerusi majoriti mudah, kalau awak mahukan 130, silakan.
“Tidak (140 kerusi)….kita lebih realistik dan mulai hari ini kita kena menyelamatkan kerusi untuk mendapatkan majoriti mudah.
“Insya-Allah-Allah dengan kempen dari semasa ke semasa, sokongan yang kami saksikan dan malam tadi di Miri, Sarawak dan sebelum itu di Tuaran, Sabah kita boleh rasai rakyat bersemangat untuk menyokong PH,” katanya.
Anwar memberitahu, kedudukan PH di beberapa kerusi selamat sedang mendahului parti-parti lain, namun beliau akan memastikan jentera terus merayu agar pengundi memberikan mandat yang jelas.
“Ketika ini kita mendahului dan ada persefahaman antara komponen PH.
“Apa yang saya boleh buat ialah merayu dan minta kerusi selamat untuk beri kita mandat jelas supaya kita tidak diugut pasca pilihan raya.
“Jadi kita bebas dan memimpin dan selamatkan negara ini daripada rasuah dan salah guna kuasa, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette