Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta barisan kepimpinan tertinggi BN mengangkat sumpah ikrar aku janji pada Majlis Pengumuman Calon Parlimen Barisan Nasional sempena Pilihan Raya Umum ke-15 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 01 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan MIC memboikot pengumuman calon-calon Barisan Nasional (BN) malam tadi adalah tidak wajar kerana ia menjejaskan mesej kestabilan yang dipromosikan oleh komponen parti itu.

Pemerhati politik, Lim Sian See berkata, MIC sebenarnya berpuas hati dengan jumlah kerusi yang diperuntukkan untuk mereka bertanding.

Parti itu cuma tidak berpuas hati kerana tiga parti pesaing kaum India yang menjadi Friends of BN iaitu IPF, KIMMA dan Makkal Sakti masing-masing diberi satu kerusi untuk bertanding di bawah BN,

Bagaimanapun, Sian See berkata, kerusi yang ditandingi Gerakan sebelum ini yang diberikan kepada tiga rakan parti BN adalah kubu kuat Pakatan Harapan (PH) dan amat sukar untuk BN menang walaupun jika MIC bertanding.

Kerusi-kerusi itu ialah Jelutong, Puchong dan Nibong Tebal.

”Walaupun saya faham MIC melakukan perkara ini sebagai prinsip memandangkan mereka telah lama menentang tiga parti seteru ini daripada menyertai BN, tetapi apa yang MIC lakukan dengan memboikot acara pengumuman calon semalam adalah tidak wajar kerana ia menjejaskan mesej “kestabilan” yang dipromosikan oleh BN.

“Semoga MIC berbaik-baik semula dengan BN,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau turut menyifatkan akar umbi dan kepimpinan UMNO membuat keputusan yang betul dan tepat jika benar Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim meninggalkan UMNO dan bertanding di atas tiket Perikatan Nasional selepas nama mereka digugurkan daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Sian See berkata, sudah dua tahun ahli-ahli UMNO mengatakan Shahidan dan Annuar tamak jawatan kerajaan, pengkhianat parti mereka dan lebih setia kepada Perikatan Nasional daripada setia kepada UMNO.

Menurutnya, jika mesej Barisan Nasional adalah kestabilan untuk negara maka parti ini mesti mempunyai kestabilan dalam parti terlebih dahulu.

”Dan UMNO tidak boleh mempunyai kestabilan dalam negara jika masih mempunyai pengkhianat dalam parti yang boleh menggugat kestabilan parti mereka,” katanya. – MalaysiaGazette