KOTA KINABALU – U-Science Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas Penyertaan Tertinggi Peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT) pada Karnival Sains Sabah 2022.
U-Science muncul sebagai pemenang anugerah tersebut apabila mencatatkan pencapaian 48,419 penyertaan pelajar sekolah menengah, sekolah rendah dan IPT dalam 10 program yang telah dilaksanakan.
Majlis penyampaian anugerah disampaikan Setiausaha Tetap, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Datuk Zainudin Aman kepada Ketua U-Science UMS, Haji Zawawi Datuk Tiyunin pada Majlis Penutupan Karnival Sains Sabah, di sini, hari ini.
Menurut Zawawi, beliau tidak menyangka pihaknya dinobatkan anugerah tersebut kerana selama ini U-Science lebih memfokuskan matlamat untuk memastikan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diterapkan dalam kalangan para pelajar bermula di peringkat awal usia.
”Pada kesempatan ini saya ingin merakamkan penghargaan kepada KSTI atas penganugerahan dan sokongan terhadap U-Science selama ini. Sesungguhnya, ini merupakan satu pengiktirafan bermakna kepada kita dan UMS secara keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr Kasim Mansor turut melahirkan rasa gembira atas pencapaian tersebut.
“Pencapaian ini menyerlahkan peranan dan sumbangan UMS kepada komuniti dalam menyemarakkan minat dan budaya STEM di Sabah,” ujarnya.
Untuk rekod, U-Science merupakan pusat perkhidmatan STEM setempat dan Hub STEM di UMS kepada pelbagai peringkat sekolah. – MalaysiaGazette