Dr. Massila Kamalrudin (tengah) pada sidang media pemaklumkan majlis konvokesyen UTeM.

DURIAN TUNGGAL – Seramai 3,149 graduan akan diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-18 Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) ke-18 yang dijadual berlangsung pada 5 hingga 7 November ini.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, majlis konvokesyen akan diadakan selama enam sesi dan membabitkan graduan diploma, sarjana muda, ijazah sarjana, ijazah doktor kejuruteraan dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Jelasnya, hampir 60 peratus daripada jumlah graduan pada tahun ini adalah merupakan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selari dengan peranan UTeM sebagai sebuah universiti yang melahirkan graduan TVET di Malaysia.

“Pada konvokesyen ini turut akan menganugerahkan Anugerah Profesor Emeritus; Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan dan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Maklumat,” katanya.

Katanya lagi, dalam majlis itu juga nanti, dua waris akan mengambil skrol mewakili dua graduan yang telah meninggal dunia yang mana seorang graduan Diploma Teknologi Maklumat dan seorang lagi graduan PhD.

Graduan PhD tersebut merupakan pelajar antarabangsa UTeM dan warisnya akan datang dari Indonesia ke majlis konvokesyen nanti.

Pada masa sama, katanya, UTeM turut mengajak semua graduan, alumni dan orang ramai dari seluruh Melaka dan negara untuk menghadiri dan memeriahkan Festival Konvo Tuah 18 UTeM yang bermula secara rasmi pada 4 hingga 7 November nanti.

”Namun begitu terdapat juga aktiviti telah bermula sejak 29 Oktober lalu dengan beberapa pengisian menarik seperti Jelajah UTeM Menjerit yang diadakan sekitar Melaka dan perlawanan bola sepak antara Pilihan UTeM dan Veteran Malaysia yang dijadualkan pada 2 November.

“Pelbagai acara dan aktiviti menarik yang dijadualkan untuk Festival Tuah 18 UTeM ini dan yang paling utama, kita mengadakan karnival kerjaya dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan HRD Corp.

“Kira-kira 200 peluang pekerjaan yang disediakan menerusi karnival kerjaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast