Johan Ropi

JOHOR BAHRU – Calon baharu Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Bahru, Johan Ropi  bersedia memikul amanah dan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Calon berusia 42 tahun itu bagaimanapun turut mengakui sedikit gementar namun berjanji akan menjalankan amanah yang telah diberikan.

Johan Ropi

“Sebagai calon yang pertama kali sudah pasti saya akui memang agak gementar.Gementar campur bersemangat sebab mahu dapatkan semula kerusi Johor Bahru ini dan jatuh ke tangan orang Johor Bahru sendiri.

“Saya mempunyai semangat yang tinggi dan saya juga mendapat respon baik dari penduduk di sini. Dari segi kancah politik itu sendiri walau pertama kali saya yakin semangat Johor Bahru itu akan membangkitkan semangat semua orang,” katanya ketika ditemui di Majlis Memperkenalkan Calon Barisan Nasional (BN) di Pejabat Perhubungan UMNO Johor Bahru hari ini.

Johan merupakan anak tempatan Johor Bahru itu juga mengakui bantuan dan tunjuk ajar dari pemimpin yang lebih lama memberi kelebihan dirinya.

Pada PRU14, Parlimen Johor Bahru dimenangi oleh wakil PKR, Akmal Narullah Mohd Nasir.

Sementara itu, bagi Parlimen Pasir Gudang yang mempertaruhkan Azleen Ambros,37, pula menyifatkan  matlamat dan niat utamanya juga adalah untuk terus memajukan Pasir Gudang supaya menjadi kawasan yang baik dari pelbagai sudut.

Azleen

Peluang yang diberikan sudah pasti memberi semangat anak muda itu untuk tidak mengalah.

“Kalau siapa yang kenal saya, saya memang biasa bersama akar undi dan khidmat bakti dalam apa jua keadaan dan apa yang lagi penting apa khidmat bakti yang kita beri dalam nak merencana dan mengisi pengisian di Pasir Gudang itu sendiri.

“Kita nak pastikan semua diperingkat kumpulan betul-betul merasai kemakmuran yang dibawa,” katanya.

Pada PRU14, Parlimen Pasir Gudang dimenangi oleh wakil PKR, Hassan Abdul Karim.

Sebelum ini Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad memberitahu, sebanyak 60 peratus calon yang bakal ditampilkan BN Johor untuk bertanding di 26 kerusi Parlimen di negeri itu PRU15 adalah muka baharu. – MalaysiaGazette