SHAH ALAM – Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad tidak goyah dengan kedudukan pencabarnya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan kerana yakin dengan rekod prestasi menjuarai dan membela hak rakyat mampu memberi kemenangan besar kepada Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga bekas Menteri Kesihatan menyifatkan PH perlu membuat persiapan yang rapi kerana Tengku Zafrul adalah pencabar yang ‘sangat kaya dengan wang tunai’.
“Apa pun saya akan terus mempertahankan kerusi ini dengan menekankan kerja saya, rekod prestasi saya dengan tradisi membela rakyat.
“Malah saya akan terus bersama agensi kerajaan dan wakil rakyatnya membangunkan Kuala Selangor sebagai satu perbandaran yang lebih bermakna dan pantas membangun sejak akhir-akhir ini.
“Saya terpanggil untuk terus bertarung kerana cabarannya itu adalah seorang menteri, maka Amanah mahu mantan Menteri turun bertarung,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam tadi.
Selasa lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan senarai calon Parlimen parti itu termasuk nama Tengku Zafrul yang dipertaruhkan di kerusi Kuala Selangor dalam PRU15, 19 November ini.
Dalam pada itu, Dzulkelfy yang juga Pengarah Strategi Amanah perlu akur kepada kehendak partinya untuk mempertahankan Parlimen Kuala Selangor selepas BN menurunkan Tengku Zafrul di kerusi tersebut.
“Atas arahan parti dan juga PH untuk saya mempertahankan kerusi ini (Parlimen Kuala Selangor) setelah UMNO BN tekad menurunkan Tengku Zafrul.
“Saya kira wajar untuk saya mentaati pimpinan dan juga cadangan serta syor untuk saya mempertahankan kerusi ini.
“Malah saya sangat teruja untuk bertembung dengan Tengku Zafrul dalam pertandingan kali ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette