SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) Selangor yakin dengan barisan calon-calon Parlimen yang telah dimuktamadkan setakat ini mampu membawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, dengan gabungan muka baharu dan lama serta individu berpengalaman mampu mempertahankan kerusi yang dimenangi dalam PRU14 pada 2018.
“Kita percaya dengan gabungan calon-calon ini, kita akan mampu mengekalkan pencapaian 2018 di samping usaha kita merampas dua kerusi Parlimen yang belum kita menangi iaitu Sabak Bernam dan Sungai Besar dalam PRU15 ini.
“Berbanding dengan kesepakatan lain, masih lagi ada bunyi huru-hara, kita percaya kita telah memuktamadkan awal di samping pembahagian kerusi yang kita mulai bincang sejak 2020,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Pengenalan 22 calon Parlimen PH Selangor di Dewan Raja Muda Musa, di sini.
Hadir sama, Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu dan bekas Menteri Kesihatan yang juga calon Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkelfy Ahmad.
Dalam pada itu, keputusan PH menerima kemasukan MUDA sebagai rakan kerjasama politik mampu membantu PH untuk merampas dua kerusi Parlimen yang dimenangi Barisan Nasional (BN) sejak beberapa pilihan raya sebelum ini.
“Kita juga mengalu-alukan kesepakatan dengan MUDA
“MUDA Insya-Allah akan menjadi sebahagian daripada pengukuh kita di Selangor menambah nilai dan memberikan impak kepada sokongan anak muda dan generasi muda yang ada di Selangor.
“Dengan pencapaian dan rekod kita di Selangor, saya percaya ia akan memberikan kelebihan kepada PH untuk memenangi kerusi-kerusi yang kita menangi di samping misi kita untuk merampas kerusi yang dimenangi BN dalam Pilihan Raya lalu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette