TELUK KUMBAR – Pertambahan institusi pendidikan, pembinaan Projek Perumahan Rakyat (PPR), taman tema air dan hab sukan.
Itu antara pembangunan yang dilakukan di Kepala Batas bagi memastikan ia menjadi kawasan yang berdaya huni, meningkatkan taraf ekonomi penduduk sekitar, sekaligus mewujudkan mobiliti sosial dalam kalangan penduduk.
Penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya bukan sahaja memberi penekanan terhadap pembangunan moral semata-mata malah pembangunan daripada sudut kerohanian turut ditekankan.
Beliau yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, buktinya pelbagai institusi keagamaan turut dibina termasuk pembinaan masjid berskala besar di Pongsu Seribu yang menelan kos sebanyak RM7 juta.
“Pertambahan dari 12 ke 44 sekolah serta pelbagai institusi pendidikan, pembinaan 700 unit kediaman PPR antara yang dilakukan bagi meningkatkan daya huni kawasan tersebut.
“Kalau pergi Kepala Batas, ada hospital, institusi pendidikan, balai bomba dan sebagainya.
“Komitmen untuk membangunkan kawasan tersebut akan terus dijalankan pada masa akan datang,” katanya selepas menerima watikah pelantikan sebagai calon PRU15 mewakili BN di kerusi Parlimen Kepala Batas.
Pada Pilihan Raya ke-14 (PRU14), Reezal Merican memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan majoriti 4,736 unidi meskipun berlaku tsunami politik ketika itu. – MalaysiaGazette