Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bercakap pada sidang media mengenai projek LCS, Undi18 dan calon Parlimen Sembrong di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya. Foto MUHD NA’IM, 01 NOVEMBER 2022.

PETALING JAYA – Rafizi Ramli mendedahkan beliau dan Jawatankuasa Calon bagi PKR mahu penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R. Sivarasa dikekalkan pada Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ketua Pengarah PRU PKR itu berkata, beliau dan jawatankuasa mengesyorkan agar Sivarasa dikekalkan namun presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai calon lain.

“Saya dan jawatankuasa calon mencadangkan Sivarasa dikekalkan tetapi ia di tangan presiden. Pada pendapat saya, lebih baik kekalkan calon supaya kempen ini dapat berjalan dengan baik,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Jelas Rafizi, Anwar membuat keputusan muktamad dengan meletakkan Datuk R. Ramanan di kawasan itu.

Anwar pada minggu lalu mengumumkan PH akan meletakkan Ramanan yang juga bekas Bendahari Agung MIC Ramanan untuk kerusi itu.

Kerusi itu dimenangi oleh Sivarasa dari PKR pada PRU14 selepas memperoleh majoriti 26,634 undi menentang Nuridah Salleh dari Pas.

Semalam, Ketua PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH tidak akan menukar calon untuk Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 ini.

UMNO pada Selasa lalu mencalonkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh untuk PRU15.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, PKR berpandangan sekiranya rakyat Sungai Buloh memberikan undi mereka kepada calon Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin bermakna mereka seolah-olah memberi undi kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Presiden PKR itu mendakwa sekiranya BN berjaya membentuk kerajaan, maka masa depan Menteri Kesihatan itu akan ditamatkan oleh UMNO.

“KJ mungkin akan kena kerat. (Datuk Seri Ahmad) Zahid takkan biar KJ berkembang dalam UMNO. Pengundi boleh bergambar dengan KJ tapi jangan undi dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette