Kamarul Zaman

BATU PAHAT  – Polis Johor hari ini memberi peringatan kepada psemua parti yang bertanding di negeri itu agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang melakukan sebarang tindakan yang melanggar undang-undang, peraturan dan etika kempen pilihan raya.

“Semua pihak diminta untuk saling bertoleransi supaya perjalanan proses pilihan raya nanti berjalan lancar, aman dan tidak ada sebarang gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan lawatan dan pemeriksaan Pusat Penamaan Calon P150 Batu Pahat di Dewan Jubli Intan, dekat sini, hari ini.

Menurut Kamarul, lapan kawasan panas telah dikenal pasti dan pemantauan ketat dilakukan bagi mengelak wujud perjudian membeli undi semasa PRU-15 di negeri itu.

“Pasukan khas juga diwujudkan untuk memastikan tidak ada elemen-elemen gangsterism menganggu sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya.

Tambahnya, seramai 8,600 pegawai dan anggota polis Kontinjen Johor ditugaskan sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Daripada jumlah itu, seramai 3,800 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di 26 pusat penamaan calon pada 5 November ini di seluruh Johor,” katanya.-MalaysiaGazetee