Azizan menunjukkan salinan laporan polis kepada pemberita di hadapan IPD Dang Wangi petang tadi.

KUALA LUMPUR – Surat akujanji calon UMNO wajib menyokong Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tular di media sosial adalah palsu dan berniat jahat, kata Setiausaha Politik kepada Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN).

Datuk Azizan Md Zain membidas tindakan pihak tidak bertanggungjawab di luar yang menyebarkan berita tidak berasas itu tidak boleh dikompromi dan perlu diambil tindakan tegas.

“Saya telah bertemu dengan Shamsul Anuar di pejabat kami di Menara Dato Onn Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur dan bertanya mengenai kesahihan perjanjian seperti ditularkan menerusi surat akujanji itu.

“Beliau (Shamsul Anuar) memberitahu bahawa dia tidak pernah menandatangani sebarang surat atau dokumen perjanjian sepertimana yang tular dan ia adalah palsu serta berniat jahat,” katanya di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis kira-kira pukul 2 petang tadi mengenai isu penularan surat akujanji yang didakwa palsu itu dan mahu polis menyiasat individu yang bertanggungjawab terhadap penularan fitnah itu.

Azizan pada masa yang sama percaya fitnah menerusi penularan surat aku janji UMNO itu merupakan satu cubaan pihak tertentu untuk memfitnah Shamsul, Zahid dan juga BN menjelang PRU15.

“Saya tidak mahu spekulasi individu atau dalang yang memainkan peranan jahat di sebalik tabir penularan surat fitnah ini tetapi menyerahkan perkara ini kepada polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Pada Rabu lalu, surat akujanji yang didakwa ditandatangani Shamsul Anuar tular yang mana beliau didakwa berjanji untuk menyokong Ahmad Zahid sebagai perdana menteri.

Akujanji itu yang didakwa ditandatangani oleh Shamsul Anuar menjanjikan majoriti jawatan Kabinet dan pelantikan politik diberikan kepada ahli Parlimen dari UMNO selain mengugurkan segala pendakwaan mahkamah membabitkan pemimpin tertinggi parti tersebut.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula hari ini membuka kertas siasatan untuk menyiasat surat
akujanji yang menyokong Ahmad Zahid sebagai perdana menteri.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada pagi tadi mengesahkan perkara tersebut sambil menjelaskan pihaknya menerima beberapa laporan berkaitan perkara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast