KUANTAN- Seramai 2,844 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pahang akan ditempatkan di 14 lokasi pada hari penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke -15 (PRU15) esok.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya akan menggerakkan semua elemen bagi menjaga keselamatan serta mengawal situasi sepanjang proses hari penamaan calon itu berlangsung.
“Polis Pahang melalui semua ketua polis daerah telah mengadakan sesi perjumpaan dan taklimat keselamatan kepada semua calon atau wakil calon dan parti-parti yang bertanding bagi memastikan kelancaran proses penamaan calon bagi PRU15.
“Polis Pahang menyeru dan menasihati kepada semua calon, wakil calon serta parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tataetika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh pihak polis dan Suruhaniaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon nanti.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Justeru kata Ramli, orang ramai dan pengguna jalan raya diminta merancang perjalanan dengan merujuk pada kenyataan penutupan dan lencongan jalan pada hari penamaan calon di facebook polis daerah bagi memberi laluan proses penamaan calon pada hari tersebut. – MalaysiaGazette