KUALA LUMPUR – MIDF Research menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) ke tahap prapandemik kepada 3.0 peratus menjelang Januari 2023.
Menurutnya, keputusan BNM menaikkan lagi OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus semalam selaras dengan jangkaan pasaran.
Penetapan dasar monetari yang akan dibuat oleh Bank Pusat menjelang tahun depan bertujuan memastikan pemulihan ekonomi Malaysia yang mampan.
”Dengan trend inflasi teras semakin meningkat dan pemintaan dalam negeri yang kukuh daripada jangkaan, MIDF Research meramalkan BNM sudah bersiap sedia untuk mengembalikan dasar monetari kepada paras prapandemik pada Januari tahun depan,” katanya dalam nota penyelidikannya.
Namun, katanya, ia bergantung kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi, kadar kenaikan harga dan penambahbaikan makroekonomi, khususnya dalam pasaran buruh dan permintaan domestik.
Mengulas kejatuhan nilai ringgit, firma penyelidikan ini berpendapat ia disebabkan oleh peningkatan kukuh dolar Amerika Syarikat dipacu oleh kawalan dasar monetari ketat yang agresif.
Meskipun begitu, kedudukan ringgit lebuh baik berbanding mata wang utama lain seperti euro, pound dan yen. – MalaysiaGazette