Mangsa lemas, Amirul Asyraff Fakhrul dijumpai pasukan Bomba selepas operasi mencari dan menyelamat di Pantai Puteri Tanjung Kling, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 04 NOVEMBER 2022.

MELAKA – Kanak-kanak lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini petang tadi ditemui di dasar pasir kira-kira 30 meter dari pesisiran pantai peranginan itu.

Mayat mangsa ditemui pada jam 6.22 petang oleh sepasukan 21 anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba dan Penyelamat Tangga Batu yang turut dibantu unit pasukan penyelamat di air (PPDA).

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, mangsa dikenali Amirul Asyraff Fakrul, 6, setelah tiga jam operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula kira-kira jam 4 petang tadi.

“Panggilan kecemasan diterima pada jam 3.50 petang memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi dipantai itu bersama seorang lagi rakan seusianya.

“Pada awalnya, mangsa datang bersama empat rakan namun dua daripadanya telah pulang apabila ditegur pengunjung yang mengarahkan mereka beredar,” katanya ketika ditemui media di lokasi.

Menurutnya, mangsa dan seorang lagi rakannya yang juga saksi kejadian bagaimanapun terus bermain di pantai itu sebelum murid tadika itu bertindak terjun beberapa kali dari tembok konkrit pembentungan pantai.

“Selepas beberapa kali terjunan, mangsa akhirnya tidak timbul menyebabkan rakannya panik dan berlari meminta bantuan.

“Operasi SAR melibatkan bomba dan dibantu nelayan setempat kemudian menjumpai mayat kanak-kanak itu terlentang di dasar pasir kira-kira 30 meter dari pesisir pantai,” katanya sambil menambah mayat dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, ibu mangsa, Noor Faezah Zulkifli, 29, berkata, dia terkejut apabila diberitahu pakciknya anak bongsu beliau dikhuatiri lemas ketika bermain dipantai terbabit petang tadi.

Noor Faezah Zulkilfli, 29 tidak dapat menahan sedih mengiringi anaknya, Amirul Asyraff Fakhrul mangsa lemas telah dijumpai pasukan Bomba selepas operasi mencari dan menyelamat di Pantai Puteri Tanjung Kling, Melaka. Foto MALAYSIA GAZETTE, 04 NOVEMBER 2022.

“Asyraff dan seorang lagi anak lelaki saya berusia 10 tahun memang tinggal dengan neneknya di Kampung Pantai Kundur manakala saya tinggal dengan pakcik di Kampung Gelam.

“Kali terakhir saya berjumpa arwah adalah kelmarin dan ketika itu arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap,” katanya.

Namun menurut ibu tunggal itu, hatinya terdetik rasa pelik apabila anak bongsunya itu tidak menghubunginya sebagaimana kebiasaan semalam.

“Biasanya, anak akan kerap telefon saya menggunakan telefon neneknya, tapi tak sangka ia adalah petanda dia pergi selama-lamanya,” katanya sebak. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast