Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sehingga jam 4 petang tadi, sejumlah 4,326 borang pencalonan telah dibeli, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengikut statistik yang dikeluarkan SPR, 3,036 borang penamaan adalah borang Parlimen dan 1,290 borang bagi DUN telah dijual.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu, Perak mencatatkan pembelian borang penamaan tertinggi dengan 326 borang adalah Parlimen dan 654 untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sabah mencatatkan sejumlah 716 borang penamaan bagi kerusi Parlimen, kedua tertinggi walaupun negeri itu tidak melaksanakan Pilihan Raya Negeri diikuti dengan Pahang sebanyak 566 borang merangkumi 144 borang Parlimen dan 422 borang DUN.

Selangor mencatatkan pembelian 266 borang penamaan DUN, Kelantan (262), Johor (253), ibu pejabat SPR (231), Pulai Pinang (219), Perlis (205), Wilayah Persekutuan/Putrajaya (163), Kedah (150), Terengganu (118), Sarawak (100), Melaka 73 dan Negeri Sembilan 24 borang.

Untuk rekod, hanya tiga negeri yang menjalankan pilihan raya negeri bersama-sama Pilihan Raya Umum iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

Penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan berlangsung esok melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15).

Turut diadakan serentak adalah penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah.

Tempoh mengemukakan kertas penamaan calon bermula 9 pagi hingga 10 pagi di 222 pusat penamaan calon antaranya terdiri daripada pejabat daerah, dewan orang ramai dan dewan sekolah di seluruh negara. – MalaysiaGazette