Teresa Kok. Foto MUHD NA'IM, 10 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak penamaan Datuk Seri Jamal Md Yunos sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teresa Kok berkata, ini kerana beliau telah memfailkan prosiding kebankrapan terhadap Jamal selepas gagal membayar ganti rugi saman fitnah seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 26 Julai lalu.

“Kelmarin, pembantu saya telah menghantar surat bantahan kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkenaan penamaan calon BN, Jamal Yunos untuk bertanding dalam PRU15.

“Senarai calon BN bagi PRU15 pada 1 November, saya mendapati BN telah mengumumkan Datuk Seri Jamal sebagai calon yang akan bertanding di P.093 Kawasan Parlimen Sungai Besar dalam PRU15.

“Akan tetapi, saya telahpun memulakan prosiding kebankrapan (No. Kebankrapan: BA-29NCC-2116-08/2022) pada 30 Ogos 2022 terhadap Dato’ Seri Jamal Bin Md Yunos.

“Ia berdasarkan kepada Penghakiman bertarikh 26 Julai 2022 yang saya perolehi di bawah Guaman no. WA-23CY-15-04/2017 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 30 Ogos lalu, Teresa yang juga penyandang kerusi Parlimen Seputeh memfailkan notis kebankrapan terhadap Jamal kerana gagal membayar ganti rugi sebanyak RM351,479.45 seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Julai lalu.

Ia susulan kemenangannya Teresa dalam saman fitnah ke atas Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu yang mana mahkamah memerintahkan Jamal membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM50,000 sebagai kos guaman.

Teresa memfailkan saman fitnah terhadap Jamal pada 6 April 2017, kerana Jamal menuduh beliau menyeleweng dana RM2 juta milik Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) di bawah kerajaan Negeri Selangor.

Teresa menegaskan, Jamal masih belum menyelesaikan penghakiman tersebut dan prosiding kebankrapan beliau terhadap Ketua Komunikasi BN Selangor itu masih berlangsung.

“Ada kemungkinan beliau (Jamal) akan dihukum bankrap akibat prosiding kebankrapan tersebut.

“Justeru, saya membantah penamaan Dato’ Seri Jamal Bin Md Yunos sebagai seorang calon untuk bertanding dalam PRU15 dan menggesa agar penamaannya ditolak oleh SPR,” katanya. – MalaysiaGazette