kuda tunggangan
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan Pas dinasihatkan supaya berhenti daripada terus menjadi ‘kuda tunggangan’ Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dikatakan sedang memperalatkan jentera parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut memohon secara ikhlas agar pemimpin-pemimpin Pas berhenti mengadu domba tentang UMNO.

Menurut beliau, tuduhan pimpinan Pas kononnya UMNO mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di bawah ‘khemah besar’ adalah sangat tidak benar.

“Pemimpin UMNO tidak pernah pun menyebut hasrat menyertai ‘khemah besar’ PH.

“Konon pimpinan Pas dapat maklumat. Dari mana maklumat itu diperoleh? Adakah dari Bersatu?

“Atau dari satu dua ‘gunting dalam liputan’ dalam UMNO? Jika begitu kaedahnya tak ‘dapek’ UMNO nak menolong,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Ahmad Zahid juga bertanya sama ada pemimpin-pemimpin Pas terlupa bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan hasrat bekerjasama dengan PH dan Gerakan Tanah Air (GTA) dalam ‘khemah besar’.

Namun, kata Pengerusi BN itu, hasrat tersebut tidak kesampaian kerana PH dan GTA masing-masing mempunyai agenda serta muslihat ‘tersendiri’.

“Jadi mengapa pimpinan UMNO pula yang dituduh oleh pemimpin Pas mahu bekerjasama dengan PH?

“Ahli Pas bernasib baik muslihat Pengerusi PN tidak kesampaian, jika tidak tentu mereka telah pun kembali ke pangkuan DAP,” jelasnya.

Beliau berpandangan, pemimpin-pemimpin Pas kelihatan semakin tersasar daripada nilai politik budiman sejak bersama PN.

Ahmad Zahid mendakwa, sikap itu mungkin akibat terpengaruh dengan budaya politik tidak sihat dan curang sahabat baharu.

Beliau percaya, hanya ahli-ahli akar umbi Pas yang dapat memperbaiki parti mereka daripada terus hanyut.

“Ahli akar umbi Pas teruslah bekerjasama memberi kemenangan kepada BN pada PRU-15.

“Insya-Allah kemuafakatan itu akan memberi kesan domino memulihkan politik Pas yang kian tersasar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast