Wednesday, April 24, 2024
Home Nasional Berkempen secara berhemah, ikut garis panduan SPR – KPN

Berkempen secara berhemah, ikut garis panduan SPR – KPN

Acryl Sani Abdullah Sani

KUALA LUMPUR – Calon dan penyokong parti politik yang bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diminta berkempen secara berhemah bagi mengelakkan ketegangan berlaku.

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, mereka perlu mengikut garis panduan berkempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar pilihan raya dan proses demokrasi berjalan lancar.

Tambah beliau, pihak yang terlibat secara langsung seperti calon dan pengurus kempen harus memikul tanggungjawab dalam mengendali dan menguruskan sentimen penyokong masing-masing agar tidak berlaku insiden sepertidi Tenom, Sabah pada hari ini.

“Kejadian berkenaan merupakan contoh bagaimana situasi penyokong yang tidak dikawal boleh mengakibatkan kemudaratan, yang mana seharusnya tidak berulang kembali kerana merupakan ancaman kepada tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

“PDRM (Polis Diraja Malaysia) tidak akan berkompromi dalam menangani ancaman yang akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam dan demi memelihara kepentingan orang ramai, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati sengaja melanggar undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Tenom kecoh apabila Unit Simpanan Persekutuan terpaksa dikerahkan bagi meleraikan rusuhan.
Berdasarkan satu video yang tular di media sosial gas pemedih mata dilepaskan di kawasan penyokong Parti Kesejahteraan Demoktratik Malaysia (KDM).

Menurut Acryl Sani, pihaknya sentiasa bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan dengan 80,000 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk penugasan PRU15.

Katanya, PDRM juga telah mengatur penugasan Pasukan Op Cantas Khas bagi menjalankan risikan, pemantauan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba mencetuskan kekacauan.

“Penugasan Op Cantas khas ini adalah bertujuan mengawal tingkah laku dan gerak kerja mana-mana pihak berkait dengan gangsterisme yang cuba mengambil kesempatan ketika PRU15 ini,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, PDRM juga telah menempatkan pegawainya  dalam Pasukan Pemantau Kesalahan Pilihan Raya (PP-KPR) bagi memastikan setiap pihak berkempen mengikut garis panduan yang ditetapkan SPR. – MalaysiaGazette