Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka mengalami dagangan tidak banyak berubah minggu depan, dengan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang menjadi penanda aras bergerak di antara 1,430 dengan 1,460 dalam keadaan ketentuan prestasi serantau, kata penganalisis.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, dari segi teknikal, FBM KLCI sewajarnya memperoleh sokongan serta-merta pada 1,470 dan rintangan pada 1,400.

Beliau berkata pelabur menunggu laporan rasmi pekerjaan Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan, dan selain itu pelonggaran dasar sifar COVID-19 oleh China akan memberi manfaat kepada banyak negara di rantau ini.

“Kami optimis memandangkan kami menjangkakan sentimen pelabur berubah positif susulan faktor-faktor tersebut ketika keadaan ekonomi tempatan yang bertambah baik, manakala penilaian ekuiti Malaysia kekal murah ketika ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Malacca Securities Sdn Bhd, Kenneth Leong berkata, turun naik ketara mungkin kekal sebagai satu ciri minggu depan kerana pelabur sentiasa menunggu laporan data inflasi AS yang akan dikeluarkan pada Khamis.

Di peringkat tempatan, data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku ketiga 2022 yang dijadual dikeluarkan pada Jumaat depan juga akan mendorong pelabur sentiasa berhati-hati, katanya.

Pada Jumaat, FBM KLCI meningkat 17.90 mata atau 1.26 peratus untuk ditutup pada paras tertinggi harian 1,438.28.

Berbanding minggu lepas, indeks utama susut 9.03 mata daripada 1,447.31 sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 57.91 mata kepada 10,217.49; FBM 70 turun 94.44 mata kepada 12,142.13 dan Indeks FBMT 100 kurang 65.93 mata kepada 9,948.92.

Indeks FBM Emas Syariah naik 4.58 mata kepada 10,327.09 dan FBM ACE menambah 37.88 mata kepada 4,919.18.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 293.35 mata kepada 16,092.69; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 1.67 mata kepada 173.78 dan Indeks Perladangan kurang 22.03 mata kepada 6,821.02.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 27.71 mata kepada 725.28.

Pada minggu dagangan, Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 13.37 bilion unit bernilai RM8.89 bilion daripada 9.78 bilion unit bernilai RM8.08 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 9.03 bilion saham bernilai RM7.61 bilion daripada 5.87 bilion saham bernilai RM5.77 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran menokok kepada 1.62 bilion unit bernilai RM325.14 juta daripada 1.36 bilion unit bernilai RM231.45 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE sebanyak 2.70 bilion saham bernilai RM955.85 juta berbanding 2.55 bilion saham bernilai RM1.08 bilion. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast