KUALA LUMPUR – Polis berharap semua calon dan juga penyokong parti yang hadir untuk penamaan calon di Parlimen Batu mematuhi segala peraturan sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-15.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua calon dan wakil calon parti bertanding telah dipanggil dan diberi taklimat mengenai peraturan yang perlu dipatuhi sepanjang musim PRU15 kali ini.
“Kita telah memanggil semua calon parti bertanding termasuk calon bebas beserta wakil-wakil mereka dan diberi taklimat mengenai segala peraturan yang perlu dipatuhi.
“ Kita juga meminta mereka agar bekerjasama dengan pihak keselamatan sepanjang proses penamaan calon serta berkempen dan pada hari mengundi.
“Saya berpuas hati mereka menyatakan komitmen dan kesediaan untuk bekerjasama dengan polis memastikan proses PRU di Parlimen Batu berjalan lancar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Eng Lai hadir bagi melakukan tinjauan lapangan Pusat Penamaan Calon Parlimen Batu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sentul Utama.
Beliau berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya menjaga keamanan proses penamaan pagi ini.
Tambah beliau, seramai 152 pegawai dan anggota dari IPD Sentul telah digerakkan dan mengawal rapi situasi di Jalan Ipoh khususnya di Pusat Penamaan Calon SMK Sentul Utama.
“ aya turun meninjau pagi ini sempena proses penamaan calon dan sekatan jalan dibuat untuk parti tertentu berhimpun dan tiada sebarang insiden diingini dijangka berlaku.
“Situasi terkawal setakat ini dan saya harap calon dan penyokong beri kerjasama kelancaran proses penamaan calon.
“Namun kami akan terus memantau situasi di lokasi penamaan yang dianggap kawasan panas ini agar segala urusan berjalan lancar dan baik,”tegasnya. MalaysiaGazette