Calon PH, Dr Maszlee Malik tiba di pusat penamaan calon di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam, Simpang Renggam, Johor.

SIMPANG RENGGAM – Calon Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik mencadangkan supaya diadakan debat dengan semua calon-calon di kerusi Parlimen ini.

Beliau mendakwa, cadangannya itu disambut baik oleh semua calon-calon ketika mereka bertemu di pusat penamaan calon, di sini, sebentar tadi.

Bagi tujuan itu, beliau berharap agar ada pihak yang sudi menyediakan platform supaya debat itu dapat diadakan secara langsung.

“Untuk menjelang sehari dua terakhir, kita mahu mengadakan debat terbuka antara calon-calon Parlimen Simpang Renggam.

“Secara dasarnya mereka semua telah bersetuju dan kita mintalah mana-mana (media) untuk sudi menjadi hos pada program tersebut sebagai usaha kita mendatangkan proses demokrasi dan mendidik rakyat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui selepas proses penamaan calon bagi Parlimen Simpang Renggam di Dewan Muafakat, Majlis Daerah Simpang Renggam, di sini.

Maszlee mendakwa, setakat ini calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hasni Mohammad menyatakan persetujuannya terhadap cadangan itu begitu juga dengan dua lagi pencabarnya.

Ditanya mengenai fokus yang akan menjadi tajuk perdebatan tersebut, Maszlee yang juga penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam memberitahu, ia sudah pasti mempunyai kaitan dengan agenda nasional.

Katanya, ia disebabkan Simpang Renggam merupakan kerusi Parlimen yang boleh membentuk kerajaan.

“Kita nak tunjukkan misi dan visi bagaimanakah kerajaan terumatanya selepas pasca Covid-19 ini boleh berfungsi.

“Saya rasa gembiralah mereka semua bersetuju,” tambahnya. – MalaysiaGazette