Loh Kah Yong (kiri), Salahuddin Ayub dan Nur Jazlan Mohamed bergambar selepas proses penamaan calon selesai.

JOHOR BAHRU – Calon Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed akur dengan permintaan parti yang mahukan beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jazlan yang mengakui tidak berminat untuk dicalonkan berkata, beliau melakukannya bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya hanya mengikut arahan parti.

“Tidak berminat (untuk bertanding) tetapi minggu lepas saya telah diarahkan untuk menjadi calon. Saya bertanding untuk parti bukan untuk diri saya,” katanya yang ditemui selepas menyerahkan borang pencalonan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, di sini, hari ini.

Nur Jazlan menyatakan demikian ketika ditanya mengapa beliau menyerahkan borang pencalonan sedangkan sebelum ini Timbalan Pengerusi UMNO Johor itu menyatakan tidak berminat untuk bertanding pada PRU-15.

Sementara itu, dua lagi calon yang akan bertanding di Parlimen Pulai dalam PRU15 ini termasuklah

Beliau akan berdepan dengan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mewakili Pakatan Harapan (PH) dan calon Perikatan Nasional (PN) Loh Kah Yong mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi merebut kerusi Parlimen Pulai.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai berkata, pertarungan tiga penjuru itu akan memberi kelebihan kepada BN.

“Saya percaya akan beri kelebihan kepada BN, melihat kepada suasana pilihan raya kali ini tidak sepanas 2018 lalu, namun penyokong parti akan tetap keluar mengundi parti dimahukan mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan keputusan Deepak Jaikishan yang membuat keputusan untuk tidak bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

“Saya calon yang serius dan mempunyai rekod lampau yang baik, saya pernah menjadi Ahli Parlimen Pulai selama tiga penggal. Begitu juga dengan Salahuddin (Datuk Seri Salahuddin Ayub), dia penyandang Ahli Parlimen Pulai.

“Kami melihat PRU ini satu proses yang serius dan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menang demi manfaat penduduk Pulai, kerana ini bukan perkara main-main. Jadi apabila dia (Deepak) membuat keputusan untuk tidak bertanding di sini, saya alu-alukan keputusan itu,” katanya. – MalaysiaGazette