Calon Pakatan Harapan P.131 Rembau, Jufitri Joha bercakap kepada media selepas menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 bagi P.131 Rembau di Dewan Seri Rembau, Negeri Sembilan. Foto AFFAN FAUZI, 05 NOVEMBER 2022.

REMBAU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Rembau, Jufitri Joha yakin prestasi kerajaan Negeri Sembilan di bawah gabungan politik itu menjadi sandaran untuk pengundi memilihnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Beliau berkata, selain itu, PH turut menawarkan politik matang dan maju ke hadapan serta nilai integriti dan antirasuah.

“Kalau diberi ruang berterusan selepas 22 bulan dahulu dan dipimpin oleh orang yang sepatutnya mengetuai perubahan seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya percaya dengan dibantu oleh kami di Rembau, (PH) akan membentuk sebuah kerajaan yang sangat berkredibiliti,” katanya.

Jufitri, 43, berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi kerusi Parlimen Rembau di sini, hari ini.

Bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu akan berdepan dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dan Nazree Yunus dari Perikatan Nasional (PN), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awaluddin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau juga berjanji akan berusaha menangani permasalahan rakyat dalam isu peluang pekerjaan, perumahan dan ekonomi digital dengan segera sekiranya dipilih oleh pengundi kelak.

Jufitri juga yakin pengalamannya sebagai bekas pemimpin belia dan aktivis masyarakat di Rembau akan membantunya memikat pengundi di Rembau.

“Saya dah buat kerja-kerja kemasyarakatan di Rembau selama 20 tahun sejak ayah dan ibu saya pulang ke kampung.

“Saya sangat yakin dan bersemangat rakyat di bawah memberi maklum balas yang baik terhadap seorang anak muda yang berpengalaman bukan sahaja di Rembau malah di peringkat negeri, nasional dan antarabangsa,” jelasnya. – MalaysiaGazette