Calon-calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson pada PRU15.

PORT DICKSON – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bakal berdepan saingan lima penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Beliau yang merupakan calon Pakatan Harapan akan bersaing sengit dengan calon Barisan Nasional (BN) yang juga bekas timbalan menteri, Datuk P Kamalanathan dan pengarah serta pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri.

Turut bertanding menentang Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR dan anak tempatan, Chuah di sini adalah aktivis masyarakat, Abdul Rani Kulup Abdullah yang popular dengan panggilan ‘Ayahanda’ sebagai calon bebas dan calon Perikatan Nasional (PN), Rafiei Mustapha.

Pertandingan itu disahkan selepas Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, Khairy Maamor mengumumkan senarai calon yang bertanding dalam PRK itu pada pukul 10.40 pagi selepas tempoh proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Port Dickson ditutup pada 10 pagi ini disusuli tempoh bantahan selama sejam.

Sebelum ini, penyandang Parlimen Port Dickson yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi laluan kepada Aminuddin yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Negeri Sembilan untuk PRU15 kali ini.

Anwar pula akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memenangi kerusi Parlimen Port Dickson dalam Pilihanraya Kecil Port Dickson pada 13 Oktober 2018 dengan majoriti 23,560. – MalaysiaGazette