PUTRAJAYA – Sejumlah enam borang penamaan calon ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada proses penamaan, hari ini.
Menurut pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh, jumlah itu adalah empat di peringkat Parlimen dan dua di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tetapi, tiada kerusi yang menang tanpa bertanding, katanya dalam sidang media di ibu pejabat di ibu pejabat SPR, hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Ghani tidak memperincikan butiran senarai kerusi-kerusi yang telah ditolak borang mereka.
Laporan media hari ini mengatakan tiga borang pencalonan ditolak antaranya calon Pakatan Harapan (PH), Manolan Mohamad bagi kerusi DUN Kemayan.
Pencalonan Manolan ditolak kerana beralamat luar Pahang menyebabkan pencalonannya ditolak.
Borang calon Gabungan Tanah Air (GTA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Manis, Pahang Datuk Mohammad Radhi Abdul Razak juga ditolak.
Satu lagi adalah borang pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM), Datuk Peter Anthony bagi Parlimen Tenom.
Dalam pada itu, SPR memberitahu, Parlimen Batu menyaksikan pertembungan calon paling ramai iaitu sebanyak 10 orang.
“Manakala bagi pertandingan di Dewan Undangan Negeri menyaksikan pertandingan paling tinggi di N.47 Chenderiang, Perak iaitu tujuh penjuru.
Untuk PRK DUN N.66 Bugaya, Sabah turut menyaksikan pertandingan tujuh penjuru lagi. – MalaysiaGazette















