Calon Barisan Nasional (BN) N.04 Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad bergambar bersama calon Barisan Nasional (BN) P.055 Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan calon Barisan Nasional (BN) N.03 Kenering, Rohaida Mohamad Yaakob selepas selesai menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pejabat Daerah dan Tanah Lenggong, Perak. Foto MOHD ADZLAN, 05 NOVEMBER 2022.

LENGGONG – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad meminta pengundi Cina dan India mencontohi pengundi bukan Melayu yang membuat keputusan semasa pilihan raya negeri di Johor dan Melaka.

Menurutnya, pengundi di kedua-dua negeri itu telah memberi kemenangan kepada calon MCA dan MIC sekali gus membolehkan wakil calon kaum tersebut berada dalam kerajaan.

“Cuba kita tengok di Melaka dan Johor semasa pilihan raya negeri orang India dan Cina memberi kemenangan.

“Di Melaka dua kerusi kepada MCA dan satu kerusi kepada MIC. Maka bila tubuh kerajaan negeri Melaka ada wakil Cina dan India.

“Di Johor pun sama orang di sana beri kemenangan empat kerusi kepada MCA dan dua kerusi kepada MIC bila tubuh kerajaan negeri meraka ada wakil Cina dan India,” kata calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan.

Saarani berkata, ketika mentabir negeri Perak beliau mengalami kesukaran untuk meletakkan wakil masyarakat Cina dan India dalam kerajaan negeri.

Jelas beliau, ini kerana semua calon MCA dan MIC tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

“Sama juga di Perak kalau dia beri kemenangan kepada BN bukan sahaja calon UMNO tetapi berilah bukan sahaja dua (kerusi) tetapi lebih pun tak ada masalah kepada calon-calon MCA dan MIC.

“Bila kita tubuh kerajaan nanti kerajaan BN mewakil orang Melayu, Cina dan India. Itulah kerajaan yang sihat sebenarnya,” katanya ketika menjawab strategi PH untuk memenangi DUN Perak dengan calon DAP menguasai 18 kerusi, Amanah (8) dan PKR (8).

Terdahulu beliau selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Lenggong yang berlangsung di Pejabat Daerah dan Tanah di sini.

Beliau yang mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2018 akan ditentang oleh Mohd Sabri Abdul Manaf, 39 (Pakatan Harapan) dan Mohd Jamil Yahya, 58 (Perikatan Nasional).

“Saya yakin pengundi-pengundi Cina dan India telah mempelajari kesan daripada kesilapan untuk percubaan menukar kerajaan pada 2018.

“Akibatnya sekarang ini kebanyakan kerajaan negeri seperti Perak mereka tiada wakil daripada orang Cina dan India.

“Harapan saya supaya mereka mengambil iktibar kali ini orang Cina dan India kembalilah memberi sokongan kepada BN,” kata beliau.

Saarani yakin pengundi akan memberi peluang kepada BN pada PIlihan Raya Umum ke-15 berdasarkan rekod dan wawasan yang ada pada parti itu.

BN perlu membentuk kerajaan yang kuat dan stabil untuk meyakinkan pelabur datang ke Perak dan Malaysia.-MalaysiaGazette