Mohd Redzuan Md Yusuf

ALOR GAJAH – Penyandang kerusi Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof yakin dapat mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berdasarkan rekod pencapaian cemerlangnya sebelum ini.

Calon Perikatan Nasional (PN) mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perkara tersebut menjadi bonus buatnya untuk mengalahkan tiga calon lain walaupun mempunyai nama besar dalam parti masing-masing.

Menurutnya, beliau sememangnya sudah menjangka bakal berdepan saingan tiga penjuru termasuk Barisan Nasional (BN) yang buat pertama kali meletakkan calon Melayu di kerusi tradisi MCA itu untuk memecah undi daripada memihak kepadanya.

“Tapi kalau dilhat kepada corak pilihan raya sebelum ini, susunan dan kekuatan jentera itu yang akan memastikan kemenangan dan itulah yang kita pelajari daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) November tahun lalu.

“Sebagai penyandang, saya mempunyai ‘track record’ yang mana pengundi sendiri boleh nilai bagaimana saya turun padang tiga kali seminggu mengenali dan fahami masalah mereka,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada PRU kali ini, Parlimen Alor Gajah bakal menyaksikan saingan empat penjuru antara Mohd Redzuan, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari; Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dan Muhammad Nazriq Abdul Rahman (Pejuang- Berjasa).

Ditanya apakah calon payung terjun atau orang luar dipertaruhkan parti lawan menjadi kelebihan untuk mengekalkan kerusi dimenanginya pada PRU14, Mohd Redzuan yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, beliau mengenali masalah setempat sehingga ke peringkat akar umbi.

“Macam di Alor Gajah ini, orang selalu sebut masalah banjir yang sudah berpenggal-penggal tapi masih tiada sistem menyeluruh untuk mengatasinya sedangkan proses itu berjalan seperti yang sering saya bangkitkan dalam sidang Parlimen.

“Tapi biasalah, masalah birokrasi ini masih menjadi isu utama dan saya akan pastikan rancangan tebatan banjir (RTB) ini akan dilaksanakan secara holistik,” katanya.

Menurutnya, perkara itu bukan sekadar kenyataan populis sebaliknya janji yang harus ditunaikan sekiranya terus diberi mandat memenangi PRU15, 19 November ini.

“Saya tidak mahu lagi lihat tiap-tiap tahun orang (mangsa banjir) yang sama di pusat penempatan sementara (PPS) selain keadaan ekonomi di Alor Gajah ini masih lagi mencabar dan pelbagai inisiatif ekonomi perlu diimbangkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.