Dua buah rumah dan tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Rama Pantai, Melaka hari ini.

MELAKA – Dua buah rumah dan tujuh kenderaan musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Rama Pantai, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, lapan mangsa daripada dua keluarga termasuk sebuah kekuarga Rohingya bagaimanapun terselamat apabila sempat melarikan diri.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan ll Norezura Md Azam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.08 pagi sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan Padang Temu dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba didapati api sedang marak memusnahkan 80 peratus dua buah rumah terbabit serta sebuah lagi rumah rosak 10 peratus.

“Namun tindakan awal bomba berjaya menghalang api daripada marak sebelum ia ddikawal kira-kira 20 minit kemudian tanpa membabitkan sebarang kemalangan jiwa kerana penghuni sempat lari menyelamatkan diri,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pemadaman api turut dibantu penduduk tempatan bagi mengelakkan api merebak ke kediaman lain.

Turut musnah dalam kejadian itu adalah tiga buah kereta dan empat motosikal milik penduduk. – MalaysiaGazette