IPOH – Naratif pembangkang bahawa Datuk Ahmad Zahid Hamidi akan menjadi Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 sengaja dimainkan kerana mereka sudah kehilangan modal.
Lantaran itu, pembangkang terus menyebarkan cerita bohong untuk menang sekali lagi, kata Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran.
Menurut beliau, Ahmad Zahid sudah pun membincangkan kedudukan Ismail Sabri Dewan Tertinggi BN dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) sebelum ini.
”Malah Datuk Seri Ahmad Zahid juga sudah memaklumkan kepada umum bahawa Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri jika kita menang nanti.
”Pembangkang sengaja memainkan isu ini kerana mereka sudah tiada alasan dan naratif lain untuk mengelirukan pengundi dan rakyat. Pembangkang hilang modal dan berterusan menyebarkan cerita bohong untuk menang sekali lagi, itu sahaja,” katanya.
Vigneswaran menambah, isu pelantikan Perdana Menteri tidak timbul langsung dalam kalangan BN, cuma dimain-mainkan oleh pembangkang untuk menggugat keharmonian kita, keyakinan rakyat dan pengundi.
Kata Vigneswaran yang juga calon BN Parlimen Sungai Siput, tiada isu berbangkit soal satu undi untuk siapa.
“Kita tahu (calon) Perdana Menteri hanya Ismail Sabri Yaakob, itu yang sudah disebut Ahmad Zahid, jadi ini bukan isu.
”Dulu masa Ismail diangkat jadi Perdana Menteri, pembangkang juga menyokong. Kini sudah tiada kuasa, mulalah cakap macam-macam. Pembangkang selalunya tidak ada modal kecuali pecahbelahkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette