Datuk Seri Mahdzir Khalid bercakap pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 OGOS 2022.

PADANG TERAP – Jangan kelirukan pengundi dengan memainkan isu pelantikan semula Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, sekiranya Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, UMNO sudah membuat ketetapan awal yang dipersetujui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bahawa Ismail Sabri kekal sebagai calon bagi jawatan Perdana Menteri.

“Dalam Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menetapkan bahawa parti setuju sebulat suara untuk Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri sekiranya BN menang pada PRU-15.

Saya fikir keputusan itu telah dibawa pula menjadi sebahagian daripada usul-usul dalam persidangan UMNO bahagian-bahagian di seluruh negara.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-20 Koperasi Pekerja-Pekerja Gula Padang Terap Berhad
di sini, hari ini.

Jelas Mahdzir, keputusan itu juga disokong 156 Bahagian UMNO seluruh negara yang bermesyuarat sebelum ini, dalam menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Ismail Sabri.

Mahdzir berkata, pembangkang terutama Pakatan Harapan (PH) seharusnya tidak mencampuri urusan pelantikan Perdana Menteri dan tidak mengelirukan rakyat dalam isu berkenaan.

“Pembangkang terutamanya PH yang selalu sebut perkara ini (pelantikan Perdana Menteri) tidak perlu mengadu domba urusan BN, jangan bagi keliru pengundi kerana BN sudah ada keputusan.

Keputusannya adalah seperti yang saya sebutkan tadi (bahawa Ismail Sabri dilantik semula), Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO juga jelaskan dan bersetuju Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri,” katanya.

Pembangkang dalam kempennya ketika ini, mendakwa BN bakal melantik Ahmad Zahid sekiranya gabungan itu berjaya menang pada PRU-15. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast