Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

MELAKA – Kerajaan Melaka memperluas Geran Penyertaan Tertinggi Pertandingan Pidato Rukun Negara sehingga tempat ketiga sebagai pengiktirafan kepada pendidik dan institusi pendidikan yang memainkan peranan membina jati diri generasi muda.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu merupakan manifestasi penghargaan kerajaan negeri kepada sekolah dan institusi pendidikan yang gigih menggalakkan penyertaan dalam pertandingan berkenaan.

Menurut beliau, golongan pendidik memainkan peranan penting dalam menanam kecintaan kepada negara serta menghidupkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda.

“Kerajaan negeri tidak mahu sekadar dengan ucapan tahniah tetapi kita memperluas geran penyertaan sebagai pengiktirafan kepada sekolah dan institusi pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Akhir Pidato Rukun Negara Peringkat Kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Salah seorang peserta menyampaikan pidato pada pertandingan akhir Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 di MITC, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Majlis turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran.

Menurut Ab Rauf, matlamat utama pertandingan itu bukan sekadar mencari pemidato terbaik, sebaliknya mahu melahirkan generasi muda yang berprinsip, berkeyakinan dan teguh pendirian.

“Kita mahu membina keyakinan generasi muda yang suaranya mampu menyatukan perbezaan, menjernihkan kekeliruan dan mempertahankan masa depan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, Rukun Negara kekal menjadi kompas utama penyatuan nasional walaupun negara berdepan perubahan teknologi yang turut mengubah cara masyarakat berkomunikasi dan menyuarakan pandangan.

“Kita mungkin datang dari pelbagai penjuru tetapi kita bertemu pada satu pegangan iaitu Rukun Negara,” tegasnya.

Pertandingan Pidato Rukun Negara Piala Pusingan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka 2026 mempertandingkan lima kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), Bukan Melayu dan Awam. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here