Tinagaran
A. Tinagaran beramah mesra dengan orang ramai semasa melancarkan manifesto PSM untuk kerusi Parlimen Rembau di Pasar Awam Rantau, Seremban, hari ini.

SEREMBAN – Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi kerusi Parlimen Rembau, S. Tinagaran percaya reputasi beliau sebagai aktivis sosial selama 20 tahun di Negeri Sembilan menjadi faktor pengundi memilihnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Beliau yang lebih mesra dengan gelaran Cikgu Tina berkata, sepanjang tempoh tersebut, ramai yang mengenalinya sebagai aktivis yang memperjuangkan isu kebajikan pekerja terutamanya di sektor penternakan dan perladangan.

Sehubungan itu, Setiausaha PSM Negeri Sembilan berkenaan percaya, reputasi calon adalah lebih penting berbanding parti-parti yang mereka wakili pada PRU-15, khususnya di Rembau.

“Saya percaya calon itu sangat penting, semua kena tengok calon apa aktiviti yang mereka buat, adakah mereka akan bekerja untuk rakyat.

“Saya sangat yakin setelah 20 tahun bersama rakyat bahawa saya akan masuk ke Parlimen,” kata guru tuisyen itu kepada pemberita selepas melancarkan manifesto PSM untuk pengundi di Rembau di Pasar Awam Rantau di sini, hari ini.

Tinagaran diminta mengulas tentang peluangnya untuk memenangi kerusi Parlimen Rembau memandangkan beliau akan berdepan dengan nama besar seperti Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga calon lain iaitu Nazree Yunus dari Perikatan Nasional (PN), Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH) dan Ramly Awaluddin dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Tambahnya, PSM akan bergerak secara solo di Parlimen dan tidak akan menyertai mana-mana gabungan politik sekiranya beliau menang di Rembau.

Menurut beliau, keutamaan partinya dalah membawa isu rakyat di Parlimen yang dilihat lebih berkesan berbanding bersuara di jalanan.

Sementara itu, Setiausaha Agung PSM, A. Sivarajan berkata, selepas perubahan angin politik pada PRU-14, rakyat lebih melihat kepada faktor calon berbanding parti.

Beliau memberitahu, PSM juga tidak menawarkan gabungan politik yang besar sebaliknya parti itu mempromosikan kepelbagaian dalam Parlimen.

“Kita tidak mahu Parlimen hanya dikongkong oleh dua gabungan gergasi, itu tak boleh, ini pun tak boleh, suara rakyat tak keluar.

“Kita cuba walaupun seorang, walaupun dua orang, seperti yang pernah dilakukan oleh Dr. Michael Jeyakumar di Sungai Siput dahulu,” jelasnya.

Tinagaran, 45, merupakan calon tunggal PSM yang bertanding kerusi Parlimen dalam PRU-15.

Dalam manifesto yang dilancarkan hari ini, PSM menawarkan sembilan perkara kepada pengundi di Rembau iaitu jaminan pekerjaan, jaminan makanan, menangani banjir dan perubahan iklim, menyelesaikan masalah bekalan air, menaik taraf kemudahan kesihatan, menyediakan rumah mampu milik, kemudahan mesin ATM, menambah baik sistem pengangkutan awam dan membina pusat sukan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN). – MalaysiaGazette