Muhd Muhammad Taib turut hadir pada program kempen Isham sebagai tanda sokongan kepada calon Parlimen Shah Alam di sebuah restoran di Seksyen 17, hari ini.

SHAH ALAM – Isham Jalil semakin bersemangat meneruskan aktiviti kempen di sekitar Parlimen Shah Alam pada hari ketiga, hari ini.

Beliau yang sentiasa kelihatan ceria, setakat ini berjaya menghabiskan program harian, walaupun padat.

Calon bagi kerusi Parlimen Shah Alam yang mewakili Barisan Nasional (BN) itu memulakan aktiviti bersama penduduk dengan solat Subuh berjemaah di surau dan masjid yang diatur Biro Politik UMNO Bahagian.

Kemudian Isham bersama jentera parti turun padang menemui orang ramai di pasar pagi, berjumpa dengan pengundi kaum Cina dan India, perjumpaan dengan pimpinan Pusat Daerah Mengundi (PDM), ziarah kasih, jumpa peniaga dan orang ramai di pasar malam serta solat Isyak berjemaah di masjid serta surau.

Beliau dan jentera perlu bekerja kuat untuk menamatkan era Pakatan Harapan (PH) yang merampas kerusi Parlimen Shah Alam sejak PRU 2008.

Sikapnya yang ramah dan mudah diajak berbicara cukup disenangi pengundi pelbagai kaum di kawasan Shah Alam.

Selain itu, pemilihannya sebagai calon BN bagi kerusi itu turut mendapat sokongan moral mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhd Muhammad Taib.

Mantan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu turut hadir pada perjumpaan Isham dengan penduduk di sebuah kedai makan di Seksyen 17, di sini, petang ini.

Selepas itu, Isham meneruskan program ziarah kasih mengunjungi keluarga ibu tunggal di Kampung Padang Jawa, yang mana anaknya terlantar mengidap sakit tulang belakang kronik. – MalaysiaGazette