Mangsa, Auddrey Lim bercakap pada sidang media mengenai mangsa penipuan online di Bangi Operation Centre Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 NOVEMBER 2022.

CHERAS- Seorang gadis keliru kerana dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada Mei lalu dan bakal dibicarakan April tahun depan atas kesalahan berkaitan penipuan perbankan dalam talian.

Sedangkan dia mendakwa akaun banknya telah disalahgunakan tanpa pengetahuannya oleh sindiket yang belum dikenal pasti.

Mangsa, Audrey Lum, 20 tahun berkata, kejadian bermula 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2021.

Ujarnya, sejumlah RM321,115.17 telah dikreditkan ke dalam akaunnya manakala RM321,290.10 pula didebitkan daripada akaun itu dalam tempoh berkenaan tanpa kebenaran dan pengetahuannya.

Pelajar universiti swasta itu berkata, dia hanya menyedari perkara tersebut apabila menerima notis daripada pihak bank melalui pos menyatakan RM5,000 telah dikeluarkan daripada akaunnya, Mac tahun lalu.

“Saya tidak pernah menerima sebarang mesej pesanan ringkas (SMS) atau pemberitahuan sebelum itu dan saya hanya mempunyai kira-kira RM500 dalam akaun bank,” katanya ketika sidang media di Bandar Mahkota Cheras, hari ini.

Audrey kemudiannya pergi ke cawangan bank terlibat di Bandar Sungai Long untuk membuat aduan.

“Pegawai bank memberitahu bahawa tiada transaksi yang berlaku dan baki dalam akaun bank adalah masih sama.

“Saya menukar kad ATM, kata laluan perbankan atas talian dan mengaktifkan notikasi SMS di bawah bimbingan pegawai bank,” ujarnya.

Audrey berkata akaun banknya dibekukan pada Jun tahun lalu kerana tiga laporan telah dibuat kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis untuk siasatan lanjut dan menghantar laporan salinan polis kepada pegawai bank supaya melakukan siasatan dengan Jabatan Keselamatan Siber bank berkenaan.

“Susulan itu, pegawai bank memaklumkan bahawa akaun saya telah dicuri dan disalahgunakan oleh sindiket menyebabkan berlakunya transaksi tanpa pengetahuan saya,” jelasnya.

Tambahnya, dia menerima panggilan daripada pegawai polis dari Balai Polis Brickfields untuk hadir ke balai bagi membincangkan kes terbabit pada Mei tahun lalu.

Audrey yang hadir sebagai mangsa terkejut dan kesal apabila ditahan polis serta dimasukkan ke dalam lokap semalaman.

Dia kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dan dituduh atas dua pertuduhan jenayah.

Audrey dituduh di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan – Kesalahan Kecil (1955).

Calon Pakatan Harapan P..102 Bangi, Syahredzan Johan bercakap pada sidang media mengenai mangsa penipuan online di Bangi Operation Centre Bandar Mahkota Cheras, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 07 NOVEMBER 2022.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berharap pihak berwajib melihat semula kes berkenaan.

Katanya, tindakan yang diambil terhadap Audrey perlu dinilai semula kerana gadis itu adalah mangsa tetapi terpaksa berdepan dengan pertuduhan di mahkamah.

“Beberapa bulan lepas Bank Negara Malaysia ada mengeluarkan kenyataan supaya bank-bank di Malaysia tingkatkan lagi sistem sekuriti siber mereka.

“Jadi, sudah tahu ada masalah maka pihak pendakwaan janganlah terlalu ghairah mendakwa mereka yang ditipu,” ujarnya. -MalaysiaGazette