nazree kempen
Nazree Yunus (dua dari kiri) melancarkan konvoi bermotosikal Pemuda PN selepas Program Sepagi Bersama Calon PN Parlimen Rembau di Pusat Bandar Senawang, hari ini ini.

SEREMBAN – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Rembau, Nazree Yunus menolak sebarang bentuk kempen yang menyerang calon-calon parti lawan secara peribadi.

Menurut beliau, jentera PN mesti berkempen secara berhemah serta menggerakkan kempen dengan pendekatan yang baik, adab sopan dan berbentuk penerangan.

Setiausaha Badan Perhubungan PN Negeri Sembilan itu memberitahu, kaedah itu membolehkan pengundi menilai denggan baik berdasarkan fakta dan rekod prestasi.

“Saya menolak kempen menyerang peribadi calon-calon lain tetapi soal integriti, korupsi kita perlu jelaskan tentang perkara itu,” katanya kepada pemberita.

Nazree berkata demikian selepas Program Santai Sepagi Bersama Calon PN Parlimen Rembau di Bilik Gerakan Utama Dewan Undangan (DUN) Paroi di Pusat Bandar Senawang di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Rembau berdepan pertembungan lima penjuru di kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Calon-calon lain ialah Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) serta Jufitri Joha dari Pakatan Harapan (PH), S. Tinagaran dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ramly Awalluddn dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada program tersebut, Nazree menerima borang keahlian baharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada kira-kira 500 pemuda di sekitar kawasan DUN Paroi.

Beliau percaya ahli-ahli baharu berkenaan bakal menjadi ejen perubahan untuk PN mencipta sejarah baharu dengan memenangi kerusi Parlimen Rembau.

Nazree menambah, tanggapan bahawa PN hanya bergantung kepada kekuatan jentera Pas semata-mata adalah kurang tepat kerana ia turut disokong oleh Bersatu dan Gerakan.

“Tetapi saya yakin sokongan kekuatan itu hadir jauh lebih besar daripada rakyat,” jelasnya. – MalaysiaGazette