BN Zahid
Ahmad Zahid Hamidi.

KUALA LUMPUR- Barisan Nasional (BN) akan meneruskan agenda politik sederhana dengan menawarkan politik yang diyakini melalui pretasi, rekod kukuh, kestabilan serta terus membina kemakmuran.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, rakyat sewajarnya menolak golongan yang hanya membawa agenda politik fitnah tanpa bukti dan hanya bermain sentimen berbanding politik khidmat yang sebenar.

Penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu berkata, menjelang kempen pilihan raya umum yang semakin panas, sepatutnya tawaran-tawaran politik yang lebih baik, prestasi yang telah dicapai, rekod pentadbiran yang diyakini perlu diketengahkan sebagai produk politik mereka.

Bagaimanapun pihak lawan katanya, lebih suka memfitnah dan bermain sentimen untuk memanipulasi sokongan kerana mereka tidak mempunyai tawaran yang lebih baik berbanding BN.

“Mereka juga tidak berprestasi tinggi apabila diberikan peluang menjawat jawatan menteri tertentu seperti menteri perundangan hingga mengakibatkan YDP Agong dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan baginda.

“Jauh berbeza dengan prestasi penggantinya dari GPS yang menjadi menteri undang-undang yang membawakan pelbagai pembaharuan dalam masa singkat.

“Begitu rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah agak kurang mereka tonjolkan kerana kurang berprestasi berbanding prestasi pentadbiran kerajaan BN seperti negeri Johor membuktikan tradisi pentadbiran yang cekap memberikan impak terhadap prestasi ekonomi kerajaan negeri tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Tegas Presiden UMNO itu, tiada tempat untuk politik fitnah dan semua kepalsuan dalam agenda politik sang penabur fitnah semakin terserlah dan telah ditolak majoriti rakyat Malaysia.- MalaysiaGazette