KUALA LUMPUR – Pelabur asing kembali menjadi penjual bersih minggu lalu dengan merekodkan aliran keluar sebanyak RM275.92 juta.
MIDF Research berkata, pelabur asing merekodkan tiga aliran keluar dalam tempoh lima hari dengan jualan terbesar pada hari Khamis sebanyak RM265.04 juta.
Manakala jualan pada Isnin dan Selasa masing-masing RM8.40 juta dan RM66.99 juta.
Firma penyelidikan itu berkata, pelabur institusi tempatan pula menjadi pembeli bersih minggu lalu dengan aliran masuk paling ketara pada hari Khamis berjumlah RM203.87 juta.
Hari Isnin dan Selasa, masing-masing RM30.84 juta dan RM77.58 juta.
Pelabur institusi adalah penjual bersih pada hari Jumaat sebanyak RM38.44 juta dan Rabu RM11.51 juta.
Manaka pelabur runcit menjadi pembeli bersih minggu lalu dengan aliran masuk sebanyak RM13.57 juta,
Mereka adalah penjual bersih pada hari Isnin sebanyak RM22.45 juta, Selasa RM10.59 juta dan Jumaat RM25.91 juta sebelum menjadi pembeli.
Pelabur runcit membeli sebanyak RM11.35 juta dan Khamis RM61.17 juta.
MIDF Research menambah, tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran keluar bersih iaitu perkhidmatan kewangan dengan jumlah RM270.3 juta, penjagaan kesihatan RM88.2 juta dan produk dan perkhidmatan industri RM37.7 juta.
Tiga sektor dengan aliran masuk bersih oleh pelabur asing minggu lalu ialah produk dan perkhidmatan pengguna RM43.9 juta, utiliti RM22.9 juta dan pengangkutan serta logistik RM17.3 juta.
Katanya, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih selama 25 daripada 44 minggu bagi tahun 2022 dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM5.76 bilion.
Sementara itu, institusi tempatan adalah penjual bersih selama 30 daripada 44 minggu, menyaksikan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM7.89 bilion.
Pelabur runcit pula menjadi pembeli bersih selama 28 daripada 44 minggu 2022.
Setakat tahun ini, mereka telah menjadi pembeli bersih dengan sejumlah RM2.14 bilion direkodkan.
Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur asing sebanyak 13.53 peratus dan peruncit sebanyak 2.76 peratus dan pelabur institusi menurun sebanyak 8.00 peratus. – MalaysiaGazette