Ismail Sabri (tengah)

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas tuduhan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau menolak untuk melaksana moratorium khas bagi sektor Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS).

Tegas beliau, perkara tersebut tidak berlaku, malah menerusi Bajet 2023, perkara-perkara membabitkan PMKS jelas diberikan perhatian yang meliputi dana dan insentif khusus.

“Saya tak kata enggan, ya! Saya tak pernah kata enggan. Waktu perkara ini dibangkitkan dahulu, saya minta Kementerian Kewangan melihat perkara ini,” tegasnya.

Jelas Ismail Sabri, menerusi Bajet 2023 yang telah diluluskan baru-baru ini, peruntukan dana sebanyak RM1 billion telah disediakan untuk sejuta PMKS.

“Begitu juga dengan dana untuk pinjaman bagi memulakan perniagaan dan menambah modal untuk perniagaan dibawah TEKUN, PUNB di bawah Agro Bank, SME Bank, ini juga disediakan oleh kerajaan, melalui bajet,” jelasnya.

Tambahnya lagi, kerajaan turut menambah dana untuk pinjaman khusus untuk wanita dan golongan belia untuk memulakan perniagaan Bajet 2023 terbabit.

“Semua Muhyiddin komen tentang kerajaan. Tapi apabila kita bentangkan bajet yang baik seperti ini, maka dia juga ingin menciplak bajet yang telah pun dibentangkan oleh kerajaan di bawah Keluarga Malaysia di bawah pimpinan saya,” katanya.

Ismail Sabri yang juga calon BN Parlimen Bera berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni penduduk Felda Sebertak, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sebertak, Khaizulnizam Mohamad Zuldin (BN) yang lebih dikenali sebagai ‘Angah’ dan pemimpin masyarakat setempat.

Malam tadi Muhyiddin Yassin di perasmian manifesto PN menyentuh salah satu manifesto PN berhubung pemberian moratorum pinjaman PMKS yang lebih berkesan untuk membantu peniaga kecil.

Kata Muhyididn, cadangannya sebelum ini supaya kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail Sabri mempertimbang pelaksanaan moratorium itu telah ditolak. – MalaysiaGazette