Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyantuni warga Felda Sebertak, Kemayan hari ini

BERA – Penyandang kerusi Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merayu masyarakat di sini untuk memberi undi kepada beliau pada Pilihan Raya Umum 15 (PRU15) 19 November ini.

Jika tidak, katanya beliau tidak akan boleh dilantik menjadi Perdana Menteri (PM) lagi dan seterusnya tidak dapat terus memberikan khidmat kepada rakyat khususnya di Bera.

“Untuk saya terus menjadi PM, kuasa besar adalah pengundi di Bera. Kalau tak menang, usah mimpilah saya boleh jadi PM.

“Walaupun parti dah umum saya calon PM, tapi kalau saya kalah di Bera, tetap tak boleh,”ujar beliau.

Ismail Sabri bercakap kepada penduduk yang hadir di kenduri rakyat yang diadakan di Felda Sebertak, Kemayan di sini hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri bercakap kepada penduduk yang hadir di kenduri rakyat yang diadakan di Felda Sebertak, di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, pengundi Melayu dan warga Felda di Bera merupakan penyumbang terbesar kemenangan beliau ketika pilihan raya umum lalu, termasuk di Felda Sebertak.

“Sebertak ni sentiasa berikan undi paling besar dalam pilihan raya kepada saya, jadi saya percaya, Sebertak akan terus menjadi kubu kuat UMNO dan BN,” katanya.

Jelas Naib Presiden UMNO itu lagi, banyak inisiatif yang telah disalurkan kepada warga Felda secara keseluruhan berbanding ketika zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH) dahulu.

Antaranya, sebanyak RM140 juta dana peruntukkan untuk menyelesaikan masalah air di Bera telah pun diluluskan selain isu infrastruktur yang akan diteliti semula di kawasan Felda.

“Dan kita boleh bandingkan ketika PH memerintah sebelum ini. Kita jauh lebih baik drpd PH,” ucapnya.

Justeru, beliau menyeru warga Felda di sini bukan sahaja memberi undi kepadanya, malah kepada calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan, Khaizulnizam Mohd Zuldin yang turut hadir di sini hari ini.-mMalaysiaGazette