Calon Barisan Nasional P.107 Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin beramah mesra dengan penduduk semasa mengadakan walkabout sempena Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 di Kampung Melayu Subang, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 07 NOVEMBER 2022.

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berikrar akan membawa isu tempatan kawasan tersebut ke peringkat lebih tinggi.

Beliau yakin pengalamannya menjadi menteri dan Ahli Parlimen Rembau sebelum ini boleh dijadikan jambatan bagi memudahkan suara pengundi Sungai Buloh didengari, sekaligus memudahkan isu setempat diselesaikan dengan segera.

“Saya janji sebagai Ahli Parlimen saya akan bawa bukan hanya isu tempatan dan guna pengaruh yang saya ada untuk bawa isu Sungai Buloh ke peringkat lebih tinggi lagi.

“Kalau dapat Ahli Parlimen yang pernah ada pengalaman sebagai Menteri kalau ada isu Sungai Buloh dan saya perjuangkan mungkin akan didengari berbanding calon yang tidak ada platform dan pengalaman seperti saya. Jadi saya nak guna sedikit populariti yang ada dengan saya untuk pengundi Sungai Buloh bukan untuk diri saya,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau berkata, banyak isu berkaitan generasi muda telah disuarakan kepadanya hari ini menerusi pertemuan dengan Anak Muda Generasi Asal Kampung Melayu Subang.

Antara yang perlu diberi perhatian adalah peluang pekerjaan, kemudahan bersukan dan isu banjir yang sehingga kini gagal ditangani.

“Macam-macam masalah anak muda yang disuarakan di Kampung Melayu Subang. Orang muda lebih kepada peluang pekerjaan, latihan, kemudahan-kemudahan untuk orang muda, seperti kemudahan bersukan, fasiliti rekreasi yang malangnya tidak ada. Yang paling ketara masalah banjir di kawasan Kampung Melayu Subang.

“Saya tidak mahu tuduh kerajaan negeri atau wakil rakyat lama mungkin mereka akan bilas dengan kata saya baru datang ke sini, tidak tahu hujung pangkal kes. Tapi ini yang saya dengar luahan daripada orang sini bukan saya yang cakap,” jelas beliau. -MalaysiaGazette