KUALA LUMPUR —Empat ahli UMNO yang bertanding atas tiket parti lawan pada Pilihan raya Umum ke-15 (PRU15) digugurkan keahliannya.

Mereka yang digugurkan adalah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon bebas bagi kawasan Padang Besar; Datuk Seri Shahidan Kassim (Parlimen Arau); Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran); dan Datuk Azhar Ahmad di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tindakan itu diambil selepas borang penamaan calon masing-masing diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lalu.

“Pengguguran keahlian mereka ini adalah selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan UMNO, iaitu seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti, atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan dalam pilihan raya Dewan Rakyat dan DUN akan gugur keahlian dengan sendirinya,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad, dengan pengguguran keahlian itu, jawatan yang disandang mereka di peringkat UMNO Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua UMNO Bahagian berkenaan.

Katanya lagi, UMNO juga sedang menyiasat beberapa ahli lain termasuk mereka yang dilihat mengiringi keempat-empat individu terbabit semasa proses penamaan calon.

Jelas beliau, tindakan itu boleh disifatkan menyokong calon berkenaan untuk bertanding atas tiket parti lawan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast