GERIK – Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki yang menyifatkan dirinya ‘sebatang kara’ di Parlimen Gerik, mula membiasakan diri dengan suasana kehidupan dan budaya masyarakat kawasan itu.
Beliau yang pada mulanya berdepan dengan masalah tidak diterima oleh pimpinan parti bahagian itu kerana ‘orang luar’, namun atas semangat kepartian, akhirnya diterima dengan hati terbuka.
Sepanjang empat hari berkempen, Asyraf dibawa jentera parti bertemu dan beramah mesra dengan penduduk dalam Parlimen itu.
Hari ini, beliau menghabiskan masa di Felda Nenering dan ternyata kehadirannya disambut baik oleh masyarakat di situ.
Dalam program Ziarah Kasih itu, beliau berkesempatan mengunjungi rumah keluarga Felda bertanya khabar dan berjanji akan meneruskan kesinambungan bekas penyandang kawasan itu, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman.
Selain itu, beliau juga menyantuni penduduk yang uzur, bermotosikal meronda sekitar perkampungan Felda itu dan beramah mesra dengan anak muda.
Asyraf diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan parti bertanding di Gerik menggantikan kerusi yang dikosongkan Hasbullah yang meninggal dunia pada 16 November 2020.
Allahyarham Hasbullah memenangi kerusi itu sejak PRU 2004 dan terus mengekalkan kemenangannya pada PRU 2008, 2013 dan 2018. – MalaysiaGazette