KUALA LUMPUR- Kadar pengangguran di Malaysia terus menunjukkan trend penurunan kepada 3.6 peratus pada Sept 2022, menurun 0.1 peratus berbanding 3.7 peratus pada Ogos 2022.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bilangan penganggur turut mengekalkan trend menurun selama 14 bulan berturut-turut kepada 605,000 orang pada September berbanding 612,000 orang pada bulan sebelumnya.
Bagi suku ketiga 2022, kadar pengangguran menurun kepada 3.7 peratus, mencatatkan 611,800 orang, kadar terendah sejak pandemik COVID-19 pada suku kedua 2020.
Bilangan penganggur aktif mencatatkan penurunan 2.1 peratus bulan ke bulan kepada 496,600 orang pada September (Ogos – 507,300 orang), manakala penganggur tidak aktif meningkat 3.5 peratus kepada 108,400 orang berbanding 104,700 orang.
Menurut DOSM, jumlah tenaga buruh dalam negara meningkat 0.2 peratus kepada 16.66 juta orang pada September berbanding 16.63 juta orang pada Ogos dengan kadar penyertaan buruh kekal pada 69.7 peratus.
Sementara itu, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.05 juta orang pada September berbanding 16.02 juta orang pada bulan sebelumnya.
Komposisi penduduk terbesar bekerja adalah dalam kategori pekerja dengan peratus sumbangan sebanyak 75.9 peratus, bekerja sendiri (17.6 peratus), majikan (3.4 peratus) dan pekerja keluarga tanpa gaji (3.1 peratus).
Bilangan luar tenaga buruh, mencatatkan penurunan sedikit sebanyak 0.04 peratus kepada 7.24 juta orang dengan 42.9 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada kategori kerja rumah atau tanggungjawab keluarga manakala 40.5 peratus dalam kategori sekolah atau latihan.
— BERNAMA